Tuesday, 26 November 2013

 Kisah dan Pengalaman 
Bagi pengasas produk kesihatan dan kecantikan, Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim, beliau tidak pernah melupakan janji-janji yang dibuat kepada Tuhan.Malah sehingga kini, setiap malam ketika menunaikan solat tahajud, beliau masih terus berdoa tentang perkara yang sama. Berpegang kepada pepatah “Hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat,’‘ Rozita tidak seperti kebanyakan wanita lain yang hanya berserah kepada nasib tetapi bangun melawan kemiskinan yang melingkungi hidupnya sehingga kini muncul sebagai antara wanita paling berjaya.  Apa perasaan puan sekarang?Sebenarnya saya macam tidak percaya rezeki yang Allah beri. Tetapi jauh di sudut hati, semakin hari saya semakin takut dan berdebar. Tak tahu kenapa. Mungkin takut orang kata. Kita ini hendak mendapat sebuah kejayaan memang susah. Tetapi untuk mengekalkannya lebih susah. Mampukah saya mengekalkannya? Pernah terfikir sampai ke tahap hari ini?Tidak pernah termimpi atau terkeluar dari mulut yang saya akan ada walau RM1 juta kerana apa yang saya harapkan ialah dapat keluar daripada belenggu kemiskinan yang menyebabkan saya hidup melarat. Bagaimana puan melihat kejayaan ini?Kalau kata bersyukur ya. Tetapi hendak kata bangga tidak. Kalau sebelum ini saya belum naik, saya buat ucapan tanpa membaca skrip, tetapi bila ada cawangan begini, macam-macam bermain di fikiran. Mampukah saya mempertahankan perniagaan ini? Mampukah saya membayar hutang dan buat yang lebih baik lagi? Apa yang membimbangkan puan?Saya tidak mahu orang cakap peniaga Melayu ini `hangat-hangat tahi ayam.’ Saya juga takut saya mungkin jadi riak. Saya hendak menjadi seorang ikon. Saya pernah ditawarkan gelaran Datuk tetapi kurang berminat kerana niat saya buat bisnes, bukan hendak menjadi ahli politik atau hendak terkenal atas nama Datuk. Saya hendak orang kenal saya sebagai seorang perempuan yang susah, yang prihatin tetapi mempunyai semangat tinggi dan boleh membimbing perempuan lain melalui perniagaan Sendayu Tinggi. Usaha ini merupakan satu perjuangan?Pada saya ini satu jihad kepada diri sendiri. Pada saya, tanpa rezeki, tanpa kesihatan, kecantikan dan pelajaran, martabat itu tidak akan wujud. Dalam keluarga, saya rasa kalau suami tidak boleh pandang kita, kita pun tidak boleh menyumbang banyak kepada keluarga, saya rasa rugi hidup sebagai perempuan.Kalau perempuan zaman Rasulullah atau perempuan yang berfikiran secara kampung, mereka kata, tidak apa, suami ada, dia boleh sara, anak-anak akan beri duit. Konsep hidup saya, tidak pernah mengharapkan bila tua nanti anak-anak jaga, saya tua nanti, suami ada. Dari dulu saya tidak reti hendak meminta-minta. Dari mana puan dapat kekuatan ini?Saya pernah bercerai. Saya pernah mengalami kehidupan yang teramat susah. Tiada siapa pandang saya. Saya sendiri kata, kenapa saya mesti menjadi seorang petani? Saya rasa saya muda, bertungkus-lumus membanting tulang, bersengkang mata untuk hidup. Sampai bila saya harus begini? Mesin atau kereta sekalipun, kalau lasak sangat boleh rosak enjin. Walaupun saya tidak mempunyai pelajaran tinggi, tetapi kalau Lim Goh Thong boleh berjaya, kenapa saya tidak boleh menjadi sepertinya?Saya bertanya sampai bila hendak jadi macam ini? Hidup melarat. Apabila fikir balik, saya bersyukur kenapa saya tidak disayangi oleh orang (sebak) sebab menganggap anak perempuan membawa malang. Jika saya dimanja, dibelai, dipuja, saya tidak akan jadi seperti hari ini.Saya senang bukan kerana peninggalan harta emak ayah, bukan kerana pelajaran, bukan kerana dorongan suami tetapi kerana kekuatan jiwa sebagai seorang ibu. Saya rasa bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak. Saya tidak mahu kerana kelemahan terlalu menaruh harapan – tak mengapa, suami sara saya. Tak mengapa anak-anak akan jaga saya, akhirnya masa depan anak-anak saya gelap. Boleh gambarkan kesusahan masa lalu?Saya pernah bersalin ketika itu ada duit hanya RM1.85 sen. Saya pernah bersalin (anak ketiga) tanpa ada bidan. Lahir sendiri, tidak ada lampin. Saya tidak pernah menangis kerana miskin. Tetapi sebab anak, saya menangis. Saya miskin dan tidak makan, saya tidak hairan. Saya minta kain buruk dari rumah orang, saya kata untuk buat kain lap (kesat) kaki. Sebenarnya saya hendak balut anak saya. Basuh pinggan pakai berus sabut. Setiap kali Hari Raya, saya tidak pernah tunjuk pada emak yang saya miskin, tidak pernah balik raya. Saya beli baju lelong 50 sen untuk anak-anak.Pengalaman yang saya tidak boleh lupa ialah makanan saya kalau setakat nasi berlaukkan sayur atau tidak makan, sudah jadi macam lali, tidak rasa apa. Kalau orang tengok saya berimej korporat, sebenarnya saya tidak selesa berkawan dengan orang korporat. Saya lebih selesa berkawan dengan orang macam saya dulu. Sebab saya rasa itu adalah saya.   Apa pengajaran yang puan belajar daripada pengalaman ketika hidup susah?Bila saya pernah hidup susah, orang tidak menghiraukan saya, nyawa pun tidak ada nilai, sengsara dalam usia muda, saya kata, beri masa umur saya sebelum 40 tahun, saya mesti dapat sesuatu, sekurang-kurangnya rumah sebuah, kereta dan sedikit simpanan untuk hari tua.Tetapi bila saya sudah berjaya, kalau hendak duduk senang lenang memang boleh, tetapi saya fikir balik, saya tidak boleh mengambil keputusan seperti itu, ramai perempuan lain yang boleh saya gilap. Mungkin kalau tidak jadi macam saya, dapat pendapatan antara RM50,000 atau RM100,000 sebulan pun sudah memadai. Awal tadi puan kata tiada kelulusan, bagaimana boleh mendapat kerja yang baik?Terus terang saya katakan, saya juga pernah bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat percetakan selain bekerja di hotel. Saya sebenarnya bijak semasa sekolah. Peperiksaan tidak pernah dapat lebih daripada nombor empat. Memang saya pernah tinggal di Felda tetapi selepas bercerai saya duduk di bandar. Di bandar, saya nampak saya mesti ada sesuatu untuk memajukan diri. Saya perbaiki kehidupan dengan mengambil kursus-kursus tetapi hanya di peringkat asas. Saya belajar selok-belok komunikasi dengan pelanggan dan sebagainya.Semasa bekerja sebagai pegawai pengurusan harta, saya melihat kelemahan mentaliti dan sikap orang Melayu. Saya mengkaji kelemahan mereka untuk dijadikan iktibar supaya saya tidak menjadi seperti mereka. Semasa saya minta kerja ini, saya beritahu saya pernah bekerja sekian, sekian, tetapi saya tidak bawa sijil kerana hilang. Walhal memang tiada sijil. Saya terpaksa menipu. Saya kata, beri saya peluang enam bulan. Kalau saya mampu buat kerja, ambil, jika tidak, buanglah saya. Alhamdulillah, saya dapat buktikan yang terbaik. Saya bertahan selama 10 tahun. Dalam masa yang sama, saya mula mencuba perniagaan Sendayu Tinggi. Berapa modal permulaan puan?Saya bermula dengan modal RM400, hasil gadaian barang kemas. Semasa di pengurusan harta, saya banyak terlibat di bahagian promosi dan operasi. Bila pelanggan datang, saya akan tanya, sudah kahwin ke belum atau mungkin ada masalah keluarga. Kemudian saya akan syorkan mereka menggunakan produk herba saya. Suami-suami yang datang jumpa saya selepas itu mengaku isteri mereka macam anak dara. Dari situ perniagaan saya berkembang.Kemudian saya cuba pula menjual ubat menguruskan badan. Pada awalnya tidak laku kerana saya sendiri gemuk. Apabila saya kurus, saya keluarkan gambar semasa gemuk dan tunjuk perbezaan sebelum dan selepas makan ubat. Sebenarnya saya cuba buat pinjaman bank tetapi ketika itu bank tidak layan. Alasan mereka, belum ada perniagaan herba yang berjaya di Malaysia. Saya sakit hati. Saya kata pada diri sendiri, saya akan buktikan yang saya boleh berjaya. Sebenarnya hendak berniaga kita tidak perlu ada modal banyak. Yang penting kita ada keyakinan diri,Saya tidak perlukan bank untuk berniaga. Dan saya semat dalam hati, mungkin satu hari nanti bank yang akan datang mencari saya. Betul. Sekarang semua bank cari saya. Formula kejayaan puan?Saya fokuskan minda saya dengan kata-kata. Dan saya akan berusaha ke arah itu. Falsafah hidup puan?Saya sentiasa ingat pesan bapa, jangan menipu, jangan rasuah dan jangan buat benda-benda tak elok – minum arak. Pesan saya pada diri saya – jangan riak dan takbur.

No comments:

Post a Comment