Sejarah Penubuhan Sendayu Tinggi
Kisah dan Pengalaman
Bagi pengasas produk kesihatan dan
kecantikan, Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim, beliau tidak pernah melupakan
janji-janji yang dibuat kepada Tuhan.Malah sehingga kini, setiap malam
ketika menunaikan solat tahajud, beliau masih terus berdoa tentang perkara yang
sama. Berpegang kepada pepatah “Hina besi
kerana karat, hina manusia kerana melarat,’‘ Rozita tidak seperti kebanyakan
wanita lain yang hanya berserah kepada nasib tetapi bangun melawan kemiskinan
yang melingkungi hidupnya sehingga kini muncul sebagai antara wanita paling
berjaya. Apa perasaan puan sekarang?Sebenarnya saya macam tidak percaya
rezeki yang Allah beri. Tetapi jauh di sudut hati, semakin hari saya semakin
takut dan berdebar. Tak tahu kenapa. Mungkin takut orang kata. Kita ini hendak
mendapat sebuah kejayaan memang susah. Tetapi untuk mengekalkannya lebih susah.
Mampukah saya mengekalkannya? Pernah terfikir sampai ke tahap hari
ini?Tidak pernah termimpi atau terkeluar
dari mulut yang saya akan ada walau RM1 juta kerana apa yang saya harapkan
ialah dapat keluar daripada belenggu kemiskinan yang menyebabkan saya hidup
melarat. Bagaimana puan melihat kejayaan ini?Kalau kata bersyukur ya. Tetapi
hendak kata bangga tidak. Kalau sebelum ini saya belum naik, saya buat ucapan
tanpa membaca skrip, tetapi bila ada cawangan begini, macam-macam bermain di
fikiran. Mampukah saya mempertahankan perniagaan ini? Mampukah saya membayar
hutang dan buat yang lebih baik lagi? Apa yang membimbangkan puan?Saya tidak mahu orang cakap peniaga
Melayu ini `hangat-hangat tahi ayam.’ Saya juga takut saya mungkin jadi riak.
Saya hendak menjadi seorang ikon. Saya pernah ditawarkan gelaran Datuk tetapi
kurang berminat kerana niat saya buat bisnes, bukan hendak menjadi ahli politik
atau hendak terkenal atas nama Datuk. Saya hendak orang kenal saya sebagai
seorang perempuan yang susah, yang prihatin tetapi mempunyai semangat tinggi
dan boleh membimbing perempuan lain melalui perniagaan Sendayu Tinggi. Usaha ini merupakan satu perjuangan?Pada saya ini satu jihad kepada diri
sendiri. Pada saya, tanpa rezeki, tanpa kesihatan, kecantikan dan pelajaran,
martabat itu tidak akan wujud. Dalam keluarga, saya rasa kalau suami tidak
boleh pandang kita, kita pun tidak boleh menyumbang banyak kepada keluarga,
saya rasa rugi hidup sebagai perempuan.Kalau perempuan zaman Rasulullah
atau perempuan yang berfikiran secara kampung, mereka kata, tidak apa, suami
ada, dia boleh sara, anak-anak akan beri duit. Konsep hidup saya, tidak pernah
mengharapkan bila tua nanti anak-anak jaga, saya tua nanti, suami ada. Dari
dulu saya tidak reti hendak meminta-minta. Dari mana puan dapat kekuatan ini?Saya pernah bercerai. Saya pernah
mengalami kehidupan yang teramat susah. Tiada siapa pandang saya. Saya sendiri
kata, kenapa saya mesti menjadi seorang petani? Saya rasa saya muda,
bertungkus-lumus membanting tulang, bersengkang mata untuk hidup. Sampai bila
saya harus begini? Mesin atau kereta sekalipun, kalau lasak sangat boleh rosak
enjin. Walaupun saya tidak mempunyai pelajaran tinggi, tetapi kalau Lim Goh
Thong boleh berjaya, kenapa saya tidak boleh menjadi sepertinya?Saya bertanya sampai bila hendak
jadi macam ini? Hidup melarat. Apabila fikir balik, saya bersyukur kenapa saya
tidak disayangi oleh orang (sebak) sebab menganggap anak perempuan membawa
malang. Jika saya dimanja, dibelai, dipuja, saya tidak akan jadi seperti hari
ini.Saya senang bukan kerana peninggalan
harta emak ayah, bukan kerana pelajaran, bukan kerana dorongan suami tetapi
kerana kekuatan jiwa sebagai seorang ibu. Saya rasa bertanggungjawab terhadap
masa depan anak-anak. Saya tidak mahu kerana kelemahan terlalu menaruh harapan
– tak mengapa, suami sara saya. Tak mengapa anak-anak akan jaga saya, akhirnya
masa depan anak-anak saya gelap. Boleh gambarkan kesusahan masa lalu?Saya pernah bersalin ketika itu ada
duit hanya RM1.85 sen. Saya pernah bersalin (anak ketiga) tanpa ada bidan.
Lahir sendiri, tidak ada lampin. Saya tidak pernah menangis kerana miskin.
Tetapi sebab anak, saya menangis. Saya miskin dan tidak makan, saya tidak
hairan. Saya minta kain buruk dari rumah orang, saya kata untuk buat kain lap
(kesat) kaki. Sebenarnya saya hendak balut anak saya. Basuh pinggan pakai berus
sabut. Setiap kali Hari Raya, saya tidak pernah tunjuk pada emak yang saya
miskin, tidak pernah balik raya. Saya beli baju lelong 50 sen untuk anak-anak.Pengalaman yang saya tidak boleh lupa
ialah makanan saya kalau setakat nasi berlaukkan sayur atau tidak makan, sudah
jadi macam lali, tidak rasa apa. Kalau orang tengok saya berimej korporat,
sebenarnya saya tidak selesa berkawan dengan orang korporat. Saya lebih selesa
berkawan dengan orang macam saya dulu. Sebab saya rasa itu adalah saya. Apa pengajaran yang puan belajar
daripada pengalaman ketika hidup susah?Bila saya pernah hidup susah, orang
tidak menghiraukan saya, nyawa pun tidak ada nilai, sengsara dalam usia muda,
saya kata, beri masa umur saya sebelum 40 tahun, saya mesti dapat sesuatu,
sekurang-kurangnya rumah sebuah, kereta dan sedikit simpanan untuk hari tua.Tetapi bila saya sudah berjaya,
kalau hendak duduk senang lenang memang boleh, tetapi saya fikir balik, saya
tidak boleh mengambil keputusan seperti itu, ramai perempuan lain yang boleh
saya gilap. Mungkin kalau tidak jadi macam saya, dapat pendapatan antara
RM50,000 atau RM100,000 sebulan pun sudah memadai. Awal tadi puan kata tiada kelulusan,
bagaimana boleh mendapat kerja yang baik?Terus terang saya katakan, saya juga
pernah bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat percetakan
selain bekerja di hotel. Saya sebenarnya bijak semasa sekolah. Peperiksaan
tidak pernah dapat lebih daripada nombor empat. Memang saya pernah tinggal di
Felda tetapi selepas bercerai saya duduk di bandar. Di bandar, saya nampak saya
mesti ada sesuatu untuk memajukan diri. Saya perbaiki kehidupan dengan
mengambil kursus-kursus tetapi hanya di peringkat asas. Saya belajar selok-belok
komunikasi dengan pelanggan dan sebagainya.Semasa bekerja sebagai pegawai
pengurusan harta, saya melihat kelemahan mentaliti dan sikap orang Melayu. Saya
mengkaji kelemahan mereka untuk dijadikan iktibar supaya saya tidak menjadi
seperti mereka. Semasa saya minta kerja ini, saya beritahu saya pernah bekerja
sekian, sekian, tetapi saya tidak bawa sijil kerana hilang. Walhal memang tiada
sijil. Saya terpaksa menipu. Saya kata, beri saya peluang enam bulan. Kalau
saya mampu buat kerja, ambil, jika tidak, buanglah saya. Alhamdulillah, saya
dapat buktikan yang terbaik. Saya bertahan selama 10 tahun. Dalam masa yang
sama, saya mula mencuba perniagaan Sendayu Tinggi. Berapa modal permulaan puan?Saya bermula dengan modal RM400,
hasil gadaian barang kemas. Semasa di pengurusan harta, saya banyak terlibat di
bahagian promosi dan operasi. Bila pelanggan datang, saya akan tanya, sudah
kahwin ke belum atau mungkin ada masalah keluarga. Kemudian saya akan syorkan
mereka menggunakan produk herba saya. Suami-suami yang datang jumpa saya
selepas itu mengaku isteri mereka macam anak dara. Dari situ perniagaan saya
berkembang.Kemudian saya cuba pula menjual ubat
menguruskan badan. Pada awalnya tidak laku kerana saya sendiri gemuk. Apabila
saya kurus, saya keluarkan gambar semasa gemuk dan tunjuk perbezaan sebelum dan
selepas makan ubat. Sebenarnya saya cuba buat pinjaman bank tetapi ketika itu
bank tidak layan. Alasan mereka, belum ada perniagaan herba yang berjaya di
Malaysia. Saya sakit hati. Saya kata pada diri sendiri, saya akan buktikan yang
saya boleh berjaya. Sebenarnya hendak berniaga kita tidak perlu ada modal
banyak. Yang penting kita ada keyakinan diri,Saya tidak perlukan bank untuk
berniaga. Dan saya semat dalam hati, mungkin satu hari nanti bank yang akan
datang mencari saya. Betul. Sekarang semua bank cari saya. Formula kejayaan puan?Saya fokuskan minda saya dengan
kata-kata. Dan saya akan berusaha ke arah itu. Falsafah hidup puan?Saya sentiasa ingat pesan bapa,
jangan menipu, jangan rasuah dan jangan buat benda-benda tak elok – minum arak.
Pesan saya pada diri saya – jangan riak dan takbur.
No comments:
Post a Comment